Friday, January 13, 2012

TITAS- Kemunculan Pusat-pusat Tamadun Melayu-Islam



2.0 FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN ISLAMISASI DI NUSANTARA

Terdapat pelbagai faktor yang membawa kepada kejayaan Islamisasi di wilayah Nusantara sehingga berkembangnya ajaran agama Islam sendiri. Antara faktor tersebut ialah:-

2.1 Keunggulan dan Kemurnian Islam

Isi kandungan ajaran agama Islam merupakan ajaran yang mudah dan senang difahami. Ianya bukan suatu ajaran yang kompleks seperti ajaran agama Hindu-Buddha. Ajaran agama Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan di dunia dan sebagai bekalan di akhirat kelak. Selain itu, Islam juga menekankan kesamarataan dalam semua golongan manusia melainkan amalan dan taqwa kepada Allah yang menjadi pengukur iman dan martabat seseorang itu di sisi Allah S.W.T. Islam amat menggalakkan akhlak yang baik dan pemupukan nilai-nilai murni seperti bantu-membantu, sayang-menyayangi, hormat-menghoramti, ikhlas dan pelbagai lagi untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Kebersihan dan kesucian diri juga tidak diabaikan dalam ajaran agama Islam yang menyebabkan ajaran ini amat disanjungi ramai dan mendapat tempat di hati manusia.

2.2 Pengislaman Golongan Raja dan Pemerintah

Melalui pengaruh Islam ke dalam masyarakat Melayu di Nusantara, konsep pendewaan terhadap raja dan pemerintah yang ditekankan oleh ajaran agama Hindu-Buddha dapat dihapuskan dan tertanamlah konsep patuh dan daulat serta konsep derhaka kepada raja dan pemerintah. Selain itu, pengislaman raja-raja turut menjadi faktor utama perkembangan ajaran agama Islam. Hal ini kerana, apabila golongan raja dan pembesar telah memeluk Islam, rakyat yang diperintah juga turut menjejaki perbuatan raja tersebut. Maka, ajaran agama Islam telah mula bertapak dalam jiwa setiap rakyat dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian seterusnya mengajarkannya kepada orang lain.

2.3 Perkahwinan

Secara umumnya, kerajaan-kerajaan di Nusantara merupakan kawasan perdagangan yang sangat terkenal dan masyhur. Oleh yang demikian, ramai pedagang Islam yang berdagan di kawasan-kawasan tersebut. Dalam tempoh perdagangan yang memakan masa yang agak lama, maka, golongan pedagang Islam telah membuat keputusan untuk berkahwin dengan penduduk tempatan di kerajaan-kerajaan di wilayah Nusantara. Setelah berkahwin, maka seluruh kaum keluarga tempatan akan memeluk agama Islam yang diajaran kepada mereka. Hal ini amat mudah kerana golongan pedagang merupakan golongan yang kaya serta amat disanjungi oleh penduduk tempatan. Terdapat juga pedagang Islam yang mengahwini puteri golongan raja yang memudahkan lagi proses penyebaran Islam di wilayah ini.

2.4 Hubungan Diplomatik

Menurut teori Islam di Alam Melayu yang datang dari China, Melaka dikatakan telah membuat hubungan diplomatik dengan China pada 1404M. Melaka menjalinkan hubungan dengan China untuk mendapatkan perlindungan daripada ancaman kerajaan Siam. Pada awal perhubungan ini, China telah menghantar Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam untuk melaksanakan tujuan ini. Oleh yang demikian, ajaran Islam juga turut diperluaskan di negeri Melaka. Sehubungan dengan penyebaran Islam di Melaka, negeri-negeri lain juga turut mendapat pengaruh Islam yang dapat dilihat mampu memajukan sesebuah kerajaan tersebut.

2.5 Perdagangan

Kerajaan-kerajaan di Nusantara merupakan pusat terunggul sebagai pusat perdagangan. Hal yang demikian telah menyebabkan ramai pedagang Islam dari negara luar untuk datang berdagang di negeri-negeri tersebut. Peluang untuk berdagang seterusnya menyebarkan ajaran agama Islam digunakan dengan sebaiknya oleh para pedagang Islam. Para pedagang ini telah berjaya meyakinkan penduduk tempatan tentang keunggulan dan kebenaran ajaran Islam. Selain itu, di Melaka, diceritakan bahawa Syahbandar Pelabuhan Melaka telah memberikan layanan istimewa terhadap pedagang-pedagang Islam, ini menyebabkan ramai golongan pedagang di negeri-negeri yang berdekatan serta merta memeluk agama Islam untuk mendapatkan layanan istimewa tersebut dan berusaha untuk mendalami ajaran Islam dengan lebih mendalam.

2.6 Kebijaksanaan Pendakwah

Dakwah Islamiyyah ke Alam Melayu ini telah bermula sejak zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz lagi yang mengarahkan para pendakwah untuk menyebarkan ajaran Islam di Alam Melayu. Hal yang demikian telah menyebabkan ramai golongan raja khususnya yang menerima ajaran islam seterusnya menjadikan Islam sebagai agama rasmi di kerajaan-kerajaan mereka. Pendakwah yang berdakwah secara lemah lembut dan penuh kedamaian telah menarik minat penduduk tempatan untuk mendalami Islam. Golongan ahli sufi tersebut juga telah mendirikan pusat-pusat pengajian formal seperti zawiyyah dan masjid-masjid sehingga terbentuknya institusi pengajian pondok yang sangat terkenal dan membawa kepada penubuhan institusi yang lebih besar seperti madrasah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...