Thursday, April 8, 2010

kajian...

Selangor tertinggi buang bayi

KUALA LUMPUR 7 April - Selangor mencatatkan kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak tertinggi di negara ini dalam tempoh lima tahun sejak 2005.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 105 kes pembuangan bayi berlaku di Selangor dari 2005 hingga 2009.

''Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula menunjukkan sebanyak 3,234 kes penderaan kanak-kanak dan bayi berlaku di negeri berkenaan sepanjang tempoh sama," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ismail bertanyakan jumlah kes pembuangan dan penderaan bayi bagi tempoh 2005 hingga 2010 mengikut negeri, sebab ia berlaku dan tindakan drastik kerajaan bagi menanganinya.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, dalam tempoh lima tahun berkenaan sebanyak 407 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara dan 10,758 kes membabitkan penderaan kanak-kanak dan bayi.

Shahrizat berkata, antara punca kes pembuangan bayi adalah kurang pendidikan agama, pasangan lelaki tidak mahu bertanggungjawab dan ibu bapa tidak dapat menerima bayi yang cacat.

''Kes penderaan kanak-kanak dan bayi pula berpunca kerana ibu bapa menghadapi tekanan di tempat kerja, masalah kewangan dan krisis rumah tangga," katanya.

Bagi membantu ibu muda yang bermasalah serta mengelak kes pembuangan bayi, beliau berkata, kerajaan telah menyediakan pusat perlindungan bagi bayi dan wanita.

''Pusat perlindungan ini adalah terdiri daripada institusi kebajikan sebanyak 55 buah, pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (104), Klinik Nur Sejahtera (53), Taman Seri Puteri (empat) dan Pusat Jagaan Sinar Kasih (satu)," jelasnya.

Utusan Online

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...